Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Melalui pemikiran bernas, kematangan dan nilai nilai keagamaan yang murni mampu mencorakkan masa depan kanak-kanak. Peringkat umur enam tahun ke bawah merupakan peringkat umur paling mudah menerima tunjuk ajar dan mengadaptasi perubahan persekitaran.

Gilap anugerah anak
Ibu bapa adalah sekolah utama dan pertama dalam pendidikan kanak-kanak. Berpegang kepada pesanan Rasulullah ‘tuntutlah ilmu sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad’, wajarlah ibu bapa ‘membantu’ kanak-kanak untuk menerima pembelajaran dengan baik.
Ibu bapa perlu sentiasa memberi perhatian untuk memastikan perkembangan mental dan emosi seimbang dalam diri anak-anak. Dan tidak wajar semua beban mengasuh, membimbing dan mendidik diserah kepada pihak tadika sepenuhnya. Pendidikan adalah proses berterusan sama ada formal atau tidak formal.
Rumah tidak terkecuali daripada menyediakan suasana dan persekitaran yang merangsang perkembangan minda. Kanak-kanak meneroka persekitarannya melalui cara bermain. Atau dengan kata lain, kanak-kanak belajar sambil bermain.
Mewujudkan ciri-ciri pembelajaran sambil bermain dan mengetengahkan bidang penerokaan bagi merangsang minda mereka adalah cara yang tepat untuk gilap anugerah mereka. Sikap yang terlalu mementingkan bidang akademik sehingga mengabaikan perkembangan emosinya akan menjejaskan fitrah semula jadinya yang suka bermain pada tahap ini. Semakin membesar kanak kanak itu, semakin berkembang mindanya.Ia berlaku secara berterusan dan mengubah mengikut keadaan sekeliling, pengaruh individu dan budaya, begitu juga dengan pencapaian dan kebolehannya yang mana setiap seorang kanak-kanak adalah berbeza. Jadi,adalah suatu keperluan untuk memahami bahawa ada kanak-kanak boleh dikategorikan sebagai lemah ataupun lembap di dalam pelajaran. Jadi apa yang perlu dilakukan adalah mendidik mereka berdasarkan aktiviti yang mereka minat.

Contohnya jika kecenderungan kanak-kanak itu kepada muzik atau visual, untuk memujuk supaya gemar membaca buku kaedah pengajaran adalah dalam bentuk lagu atau visual yang menarik. Ibu bapa seharusnya mencari kepintaran dan gilap anugerah dengan sebaik mungkin supaya potensi dirinya menyerlah.

Untuk mendalami ilmu pendidikan awal kanak-kanak, selain bahan rujukan buku dan majalah dan juga laman web tertentu, ibu bapa juga boleh mengikuti pelbagai kempen dan program yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, begitu juga dengan persatuan tadika dan taska.

Advertisement